Antara barangan yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Antara barangan yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tiga lelaki termasuk ejen tarik kereta ditahan polis selepas melakukan samun berkumpulan terhadap seorang pemandu kenderaan di susur masuk Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya, di sini, pada 11 Oktober lalu.

Penahanan tiga suspek berusia antara 26 hingga 28 tahun itu dibuat melalui hasil risikan dan maklumat yang diperoleh selama empat hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais, berkata polis menerima laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian itu.

"Siasatan mendapati kumpulan ini yang menaiki motosikal dikatakan menghimpit kereta mangsa ketika melalui susur masuk PLUS di kawasan Seberang Jaya.

"Ia menyebabkan mangsa berhenti di tepi jalan kerana terdengar bunyi dentuman kuat dan menyangkakan kereta dipandunya melanggar suspek.

"Bagaimanapun, kumpulan suspek ini bertindak melarikan beg galas milik mangsa yang mengandungi wang tunai dan barang peribadi yang berada di tempat duduk penumpang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, melalui risikan dan maklumat polis akhirnya berjaya menahan kesemua suspek dan merampas beberapa barangan berkaitan kejadian samun itu.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada tiga suspek didapati positif dadah.

"Kesemua suspek juga dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 10:04 PM