Muhaamad Hafis Nawawi


Kuching: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan analogi Keluarga Malaysia untuk menjelaskan agihan 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kepada enam negeri kurang membangun kelak.

Perdana Menteri berkata, mengambil contoh sebuah keluarga, andai kata ada dalam kalangan anak yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu ia akan diberi lebih tumpuan.

Apatah lagi, menurut beliau, jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pertolongan perlu dihulurkan dan mereka tidak akan dibiarkan bersendirian.

"Begitu juga dalam pentadbiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan kerajaan.

"Sejajar dengan ini, pembangunan sosio-ekonomi negara, di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan," katanya ketika berucap pada pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, di sini, malam ini.

PERDANA Menteri pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di sini hari ini. FOTO Bernama
PERDANA Menteri pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di sini hari ini. FOTO Bernama

Ismail Sabri berkata, Sarawak antara enam negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

"Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam RMK-12, akan diagihkan kepada enam negeri ini, membabitkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

"Pendekatan yang sama juga akan menjadi inti pati Bajet (Belanjawan) 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan," katanya.

Beliau berkata, dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya kepada Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan negeri itu sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 9:29 PM