LAPORAN terdahulu portal MyMetro
LAPORAN terdahulu portal MyMetro
BERNAMA

Butterworth: Seorang pelajar Tingkatan Lima ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di Flat B4, Taman Bagan, di sini, hari ini.

Remaja perempuan berusia 17 tahun dan tinggal di perumahan sama itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 6 petang tadi selepas jirannya mendapati remaja itu mengalami tumpah darah dan dalam kesakitan semasa berada di rumahnya.

Menurut sumber polis, remaja itu mengaku melahirkan bayi perempuan cukup sifat di dalam tandas rumahnya petang semalam, hasil hubungan seks bersama teman lelakinya yang juga berusia 17 tahun.

"Remaja itu memaklumkan, ketika itu hanya adiknya yang berusia enam tahun berada di rumah. Ayahnya keluar bekerja manakala ibunya tinggal berasingan kerana bercerai.

"Remaja itu mendakwa anaknya meninggal dunia ketika dilahirkan kerana tidak menangis atau mengeluarkan sebarang bunyi. Dia yang panik terus membalut bayi itu menggunakan kain lalu membuangnya ke dalam tong sampah berhampiran flat itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut sumber itu, bapa remaja terbabit tidak mengesyaki apa-apa kerana anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah sering berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Katanya, jiran remaja itu yang mendapati dia dalam keadaan kesakitan dan tumpah darah terus menghubungi ambulans serta polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi berkata siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dilakukan.

"Remaja itu sedang menerima rawatan di HSJ dan dia akan ditahan selepas rawatan selesai. Mayat anaknya turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya sedang mengesan teman lelaki remaja terbabit yang juga rakan sekolahnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mayat bayi itu ditemukan pada 9.35 pagi tadi oleh seorang penduduk dan dua lelaki warga Myanmar yang menjalankan kerja pembersihan serta mengutip sampah di kawasan flat terbabit.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 8:48 PM