DATUK Dr Asyraf (tengah) menyertai program gotong royong membersih kediaman mangsa banjir, hari ini. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Dr Asyraf (tengah) menyertai program gotong royong membersih kediaman mangsa banjir, hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang; "Tidak sangka banjir kali ini berlaku terlalu pantas. Tiada apa sempat kami selamatkan kecuali dokumen peribadi," ujar Mohd Mahzan Morodzi, 41, yang menjadi mangsa banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) , Labu Lanjut di sini.

Mahzan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Cyberjaya berkata, kejadian banjir yang berlaku Rabu lalu menyebabkan hampir keseluruhan perabot dan perkakas elektrik rosak ditenggelami air.

"Ketika banjir melanda sekitar jam 4 pagi, kami sekeluarga sedang nyenyak tidur. Mujur ada jiran dan segera memaklumkan tragedi yang berlaku.

"Saya bersama isteri serta dua anak kemudian bergegas keluar menyelamatkan diri berikutan paras banjir naik mendadak," katanya,

Menurutnya, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan membawa ahli keluarganya berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya pada program gotong royong membersih kediamannya anjuran Pemuda UMNO Sepang di sini, tadi.

Difahamkan hujan lebat menyebabkan ban air di Sungai Labu di sini, pecah sebelum air menenggelamkan rumah penduduk.

Program gotong royong membersih rumah penduduk di Labu Lanjut di sini, diketuai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Norsan Buyong, 49, memaklumkan tiada di rumah ketika banjir buruk itu berlaku.

"Kami sekeluarga menziarahi majlis pengebumian adik yang meninggal dunia di Ipoh, Perak. Kami hanya mengetahui bencana yang berlaku selepas dihubungi jiran.

"Saya reda dengan apa yang berlaku walaupun kerugian lebih RM20,000 disebabkan semua perkakas elektrik dan perabot rosak ditenggelami air, "katanya.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) mengetuai program gotong royong membersih

kediaman penduduk dilanda banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Labu Lanjut.Pix NSTP SAMADI AHMAD.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:45 PM