Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri minta semua persatuan etnik di Sabah untuk terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, ia penting agar warisan budaya kepelbagaian etnik di negeri itu akan terus diperkasa dan tidak terpinggir dalam kemodenan serta teknologi masa kini.

Dalam masa sama, Hajiji turut meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaaan dan Alam Sekitar serta Lembaga Pelancongan Sabah agar mengambil inisiatif untuk mengenal pasti mana-mana etnik yang mungkin sudah atau semakin pupus di negeri ini tetapi kaya dengan budaya serta adat resam yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan yang bersejarah.

"Sekurang-kurangnya, etnik itu tidak akan pupus begitu sahaja tanpa diketahui kewujudannya di Sabah. Saya percaya masih banyak lagi budaya daripada segi tarian dan muzik pelbagai etnik di negeri ini yang belum diketahui.

"Penduduk Sabah sendiri lebih daripada 30 etnik dengan menggunakan lebih 50 bahasa dan tidak kurang daripada 90 dialek.

"Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu lebih banyak warisan budaya yang dimiliki ini diketengahkan bukan saja kepada dunia luar tetapi juga anak bangsa kita sendiri yang belum mengetahuinya.

"Tarian seperti limbai, sumazau dan magunatip mungkin sudah diketahui ramai tetapi saya percaya dengan lebih 30 etnik di Sabah, masih banyak lagi warisan budaya lama yang perlu diselongkar, agar tidak pupus ditelan zaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-68 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bertempat di sini, hari ini.

Hajiji Noor berucap pada Majlis Perasmian Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-68 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Hotel Hilton hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Hajiji Noor berucap pada Majlis Perasmian Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-68 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Hotel Hilton hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ

Majlis terbabit dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Sementara itu, Hajiji berharap generasi muda akan mengambil tahu tentang kebudayaan kaum sendiri bagi membolehkan setiap amalan budaya tradisional terus kekal.

"Kita tidak mahu keprihatinan terhadap sumbangan seni dan budaya sendiri dilihat semakin terhakis oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi. Lebih membimbangkan apabila kita kehilangan warisan budaya tradisional begitu sahaja kerana tiada pewarisnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:36 PM