GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menunggu keputusan lengkap bedah siasat terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Batu Pahat, yang meninggal selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19, dan dijangka akan diperoleh antara esok hingga Khamis ini.

Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata, Noor Hayati Nabila Abdullah yang juga pelajar Tingkatan Dua itu menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, pada 3 Oktober lalu.

Bagaimanapun, katanya, remaja perempuan ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumah oleh ibunya pada 8 Oktober lalu.

Beliau berkata, pada 8 Oktober lalu, bedah siasat dijalankan ke atas Allahyarhamah, selepas jenazahnya dibawa Pegawai Penyiasat Polis, Balai Polis Batu Pahat ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) atas sebab kematian mengejut.

"Pemeriksaan luaran ke atas jenazah mendapati ia berada dalam keadaan baik manakala pemeriksaan dalaman ke atas jenazah mendapati terdapat ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

"Kesemua sampel tisu dalam badan dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

"Keputusan pemeriksaan lanjut dijangka boleh diperoleh antara 24 hingga 28 Oktober ini. Pelbagai ujian darah juga dihantar ke makmal dan masih menunggu keputusan.

"Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan uji kaji masih belum diterima. Laporan bedah siasat yang lengkap adalah perlu bagi mendapatkan sebab kematian Allahyarhamah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kematian remaja perempuan berkenaan turut tular di media sosial.

Sementara itu, Dr Aman berkata, HSNI menerima permohonan bedah siasat daripada Polis Daerah Batu Pahat selepas keluarga remaja perempuan itu membuat laporan polis susulan meninggal dunia secara mengejut.

Katanya, temu bual lanjut oleh Pegawai Perubatan Unit Perubatan Forensik, HSNI bersama waris remaja perempuan itu mendapati Allahyarhamah tidak mempunyai sebarang jenis penyakit dan alahan.

"Pada 3 Oktober lalu, Allahyarhamah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 berjenama Comirnaty.

"Status kesihatan Allahyarhamah pasca vaksin dalam keadaan baik dengan tidak menghidap demam, selesema, lemah sendi atau susah bernafas.

"Allahyarhamah juga dilaporkan boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa sebelum ditemui meninggal di ruang tamu rumahnya pada 8 Oktober lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:35 PM