Muhammad Syahizzat (dua dari kiri) bersama penerima anugerah Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan (JPJ) 1/2021 di Akademi JPJ Malaysia, Melaka hari in. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Muhammad Syahizzat (dua dari kiri) bersama penerima anugerah Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan (JPJ) 1/2021 di Akademi JPJ Malaysia, Melaka hari in. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Ini hadiah kepada bayi saya, Ainul Safiah," ujar Muhamad Shahizzat Shamsul Azli , 27, selaku penerima anugerah terbaik kawad keseluruhan Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan (JPJ) 1/2021 di Akademi JPJ Melaka di sini, tadi.

Menurutnya, anak sulungnya, Ainul Safiah yang baru berusia enam bulan adalah sumber inspirasi untuk dia meraih kejayaan selain isteri dan ibu bapanya.

Shahizzat berkata, dia amat bersyukur dan gembira dengan kejayaan itu selepas menyertai latihan hampir dua bulan membabitkan 103 peserta dari seluruh negara.

"Sebelum ini saya kerap terbabit sebagai jurulatih kadet JPJ dan jurulatih negeri. Pengalaman itu memberikan keyakinan untuk sama sepanjang tempoh menyertai kursus ini.

"Bagaimanapun saya tidak menduga terpilih dalam anugerah berkenaan namun komitmen yang saya berikan amat bermakna dan berbaloi," katanya yang bertugas di JPJ cawangan Cameron Highlands Pahang.

Sementara itu penerima anugerah keseluruhan terbaik, Mohd Pendi Murat , 34, turut bersyukur selepas berjaya mengharungi kursus amat mencabar mental dan fizikal.

Menurutnya, walaupun agak sedih apabila isteri, tiga anak serta ibu bapa tidak dapat hadir pada hari bersejarah itu namun kejayaan itu dihadiahkan kepada mereka.

Tiga penerima anugerah lain adalah Norshahman Ismail bagi akademik terbaik Keselamatan dan Pertahanan (KP41) , Sharifah Amirah Amir Shariffuddin (akademik terbaik KP29) dan Hafizul Kamarudin (akademik terbaik KP19).

Anugerah disampaikan Ketua Pengarah JPJ Malaysia Datuk Zailani Hashim.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Aminurrahim Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi, Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Akademi JPJ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:31 PM