MUHAMMAD Sajjad.
MUHAMMAD Sajjad.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang mahu dikenali sebagai 'Nur Sajat' bakal muflis selepas pemfailan pemiutang bagi menuntut pembayaran penghakiman RM200,000 daripadanya dilakukan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Pemfailan petisyen dilakukan bekas stokis utama bengkung yang dikeluarkan Muhammad Sajjad iaitu Owa Resources Sdn Bhd menerusi peguam, Nurul Hafidzah Hassan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Siti Suriatey Mohamed Yusoff.

Nurul Hafidzah ketika dihubungi berkata, petisyen itu difailkan selepas notis kebankrapan yang dikeluarkan terhadap Muhammad Sajjad tidak mendapat sebarang maklum balas.

Menurutnya, menerusi perintah bankrap, Muhammad Sajjad boleh diisytiharkan muflis seterusnya menyebabkan segala aset termasuk rumah dan akaun bank milik lelaki terbabit diuruskan Jabatan Insolvensi.

"Petisyen perlu diserahkan kepada Muhammad Sajjad dan sekiranya penyerahan itu gagal, kita akan membuat pengiklanan seterusnya kepada pendengaran dan perintah bankrap.

"Keputusan dijangka akan diperoleh dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi daripada mahkamah sekiranya Muhammad Sajjad terus gagal bayar jumlah penghakiman itu," katanya.

Nurul Hafidzah berkata, setakat ini masih belum diketahui di mana Muhammad Sajjad berada walaupun dia mendakwa berada di Australia.

"Tiada sebarang pengesahan dokumen menunjukkan bahawa harta dan perniagaannya dijual sebagaimana yang dikatakan Muhammad Sajjad.

"Saya rasa tidak rasa semudah itu menjual harta seperti rumah kerana perlu melalui pelbagai prosedur seperti melantik peguam, menandatangani dokumen jual beli dan pengesahan daripada pejabat tanah.

"Tambahan, Muhammad Sajjad mempunyai notis bankrap," katanya.

Katanya, penghantaran petisyen akan dihantar ke alamat terakhir yang diketahui.

Terdahulu, Muhammad Sajjad diberi notis kebankrapan melalui penyampaian ganti menerusi notis iklan dan penampalan selepas dibenarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ia susulan kegagalan Muhammad Sajjad membayar jumlah penghakiman RM200,000 kepada Owa Resources selepas tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:21 PM