GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dakwaan tular seorang warga emas meninggal dunia akibat kesan sampingan vaksin adalah tidak benar sebaliknya pesakit terbabit disahkan dijangkiti Covid-19 pada 6 September lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, pihaknya ingin merujuk video tular di media sosial berhubung kematian ibu kepada pengadu yang dikatakan meninggal dunia akibat kesan sampingan selepas menerima dos kedua vaksinasi Covid-19.

Menurutnya, ibu kepada pengadu ini adalah seorang warga emas berusia 78 tahun, yang tinggal di salah sebuah Rumah Penjagaan Warga Emas di Kuala Lumpur.

"Beliau (wanita warga emas) menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 8 Jun lalu dan dos kedua vaksin Covid-19 pada 1 September lalu.

"Pada 6 September lalu, beliau disahkan positif Covid-19, dan dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mulai 7 September sebelum meninggal dunia di hospital itu pada 12 September lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Param Jeeth Singh berkata, pada 10 September lalu, diisytihar kluster Covid-19 di Rumah Penjagaan Warga Emas dan ibu pengadu adalah salah seorang penghuninya.

"Kluster bermula apabila salah seorang pekerja menunjukkan gejala dan ujian Covid-19 beliau adalah positif pada 4 September lalu.

"Keesokannya iaitu pada 5 September lalu, seorang penghuni di rumah jagaan ini, yang berusia 87 tahun dan tiada sejarah menerima vaksin Covid-19 meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Cheras sudah dimaklumkan perkara ini pada 6 September lalu, dan siasatan lanjut dan pengesanan kes mengenal pasti 11 kes Covid-19 dalam kalangan penghuni dengan tiga orang daripadanya tidak pernah menerima vaksin Covid-19, selain empat kes dalam kalangan pekerja.

"Kluster ini melaporkan dua kematian dalam kalangan penghuninya iaitu seorang warga emas yang tidak menerima vaksin Covid-19 dan seorang lagi adalah ibu kepada pengadu.

"Ibu kepada pengadu dikesan positif Covid-19 pada hari keenam selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19," katanya.

Menurutnya, sekumpulan pasukan perubatan termasuk Pakar Perubatan Geriatrik sudah memeriksa kesemua pesakit positif Covid-19 di rumah penjagaan warga emas itu.

"Pakar Perubatan Geriatrik merujuk ibu pengadu ke HRC kerana beliau adalah termasuk dalam golongan yang berisiko tinggi, disebabkan umur melebihi 60 tahun, selain mempunyai komorbid dan jangkitan Covid-19 kategori 3.

"Selain ibu pengadu, terdapat tujuh lagi penghuni dirujuk ke HRC untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, ibu pengadu dirawat di HRC iaitu hospital merawat Covid-19 yang dikhaskan untuk warga emas.

"Namun demikian, keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dan meninggal dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:19 PM