Ronald ketika sidang media selepas Tinjauan Aktiviti Rantaian Pengeksportan Produk Pertanian Segar Malaysia Ke Singapura di FAMA Johor, Larkin. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ronald ketika sidang media selepas Tinjauan Aktiviti Rantaian Pengeksportan Produk Pertanian Segar Malaysia Ke Singapura di FAMA Johor, Larkin. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kenaikan harga barangan makanan tidak sepatutnya berlaku memandangkan stok makanan negara ketika ini lebih daripada permintaan.

Malah, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, berlaku lambakan produk makanan membabitkan sayuran selain tembikai dan nanas, sekali gus menafikan faktor kekurangan bekalan menyebabkan harga barangan makanan naik.

"Dari segi bekalan, saya tak rasa ada masalah kerana stok produk makanan sentiasa mencukupi.

"Walaupun negara berdepan pandemik Covid-19, kita tidak pernah hadapi masalah kekurangan bekalan malah ada tempat yang dilaporkan berlaku lambakan terutama sayuran dan buahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi sidang video dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura bagi memperkasa eksport agromakanan ke Singapura, di FAMA Negeri Johor, di sini, hari ini.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George hari ini dilaporkan berkata, harga hampir semua barang membabitkan makanan dan binaan meningkat antara 15 hingga 50 peratus sebaik aktiviti rentas negeri dibuka pada 11 Oktober lalu.

Jacob George dilaporkan berkata, dari segi makanan, peningkatan itu dikesan berdasarkan kajian CASSA di seluruh negara khasnya di kawasan pelancongan.

Sementara itu, Ronald berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu kenaikan harga barangan makanan yang dilaporkan itu.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua kementerian itu mampu mengawal lonjakan harga produk makanan di negara ini.

"Perbincangan membabitkan penggiat industri juga perlu diadakan bagi mengesan punca masalah kenaikan harga makanan itu berlaku selain mencari jalan penyelesaian supaya pengguna tidak lagi terkesan.

"Perbincangan bersama KPDNHEP penting kerana kementerian itu yang dipertanggungjawabkan menetapkan harga siling dan memantau harga barangan makanan di seluruh negara.

"Kerjasama MAFI bersama KPDNHEP turut membuahkan hasil pada bulan lalu ketika harga ayam melebihi harga siling. Masalah kenaikan harga barangan kawalan itu telah berjaya dikawal," katanya.

Mengulas mengenai Belanjawan 2022 pula, Ronald berkata, MAFI akan menumpukan pada penambahan peruntukkan bagi membangunkan semula pengusaha kecil sektor agromakanan negara.

Katanya, ia membabitkan penternak, nelayan, peladang serta petani kecil supaya mereka dapat membangunkan semula ekonomi dan perusahaan mereka dalam sektor agromakanan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Itu adalah antara perkara yang kita cadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2022. Apabila Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan Belanjawan kali ini akan fokus sektor pertanian untuk membangunkan ekonomi, ia adalah berita gembira buat sektor berkenaan dan kementerian.

"MAFI berharap Belanjawan 2022 akan membantu sektor agromakanan dalam bentuk bantuan dana dan peruntukan yang dapat disalurkan bagi membantu pengusaha kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 5:27 PM