ANTARA kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
Rosman Shamsudin


Bidor: Kira-kira 20 rumah di Jalan Besar, Kampung Poh Tambahan, dekat sini, terjejas apabila air lombong memasuki perkampungan penduduk akibat pembentung pecah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 11 pagi hari ini.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kejadian banjir kilat terbabit disebabkan pembentung air berhampiran kampung berkenaan pecah lalu air dari kawasan lombong masuk ke kawasan kampung.

"Kira-kira 20 rumah penduduk dilanda banjir kilat dengan paras air 0.5 meter memenuhi kawasan rumah penduduk," katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, dianggarkan 70 penduduk dipindahkan ke surau kampung terbabit sementara menunggu air kembali surut sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:56 PM