Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Pemandu teksi di bandar ini mengakui 'rezeki' mereka kini bertambah baik apabila ramai pelanggan terutama warga asing memilih untuk menggunakan khidmat pengangkutan awam itu.

Bagaimanapun, mereka tetap memastikan warga asing berkenaan lengkap vaksinasi Covid-19 supaya tiada penularan wabak berlaku.

Rata-rata ahli Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kota Bharu yang ditemui memberitahu warga asing banyak membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pemandu teksi, Sebri Salleh, 73, berkata pelanggan dalam kalangan orang tempatan agak kurang dan mereka bernasib baik kerana mempunyai pelanggan di kalangan warga asing terutama pada hujung minggu.

"Saya sendiri mempunyai tiga pelanggan tetap setiap hari yang akan dibawa pergi dan balik dari Bachok ke Kota Bharu selepas mereka dibenarkan kembali bekerja.

"Sementara menunggu mereka pulang, saya menghabiskan masa di stesen utama teksi bagi mencari pelanggan yang lain.

"Kebiasaannya, warga asing ramai pada Jumaat di mana mereka menggunakan khidmat teksi untuk pulang ke Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok dan Pasir Puteh bergantung kepada tempat mereka bekerja," katanya ketika ditemui di Stesen Utama Teksi Kota Bharu, di sini, hari ini.

SHAFIIN Rahman mengelap kereta sewa miliknya sambil menunggu pelanggan, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
SHAFIIN Rahman mengelap kereta sewa miliknya sambil menunggu pelanggan, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

Pemandu teksi lain Shafiin Rahman, 65, berkata dia tidak akan mengambil kesempatan ke atas warga asing, sebaliknya melayan mereka sama seperti pelanggan tempatan yang lain.

"Malah, saya akui golongan ini lebih mudah dibawa berbincang dan tidak banyak ragam. Namun, saya amat tegas soal undang-undang yang mana akan memastikan mereka lengkap dengan dokumen perjalanan sebelum menaiki teksi.

"Alhamdulillah, setakat ini tiada perkara tidak diingini berlaku selain kami dapat menjalankan kerja dengan tenang dan selamat.

"Bagaimanapun, saya berharap agar keadaan pulih dengan segera supaya perkhidmatan teksi kembali mendapat perhatian kerana kami beberapa kali berputus asa susulan kehilangan pelanggan secara mendadak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:50 PM