NURUL Munirah Abdul Rahman, 29.
NURUL Munirah Abdul Rahman, 29.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman itu memandangkan ekonomi individu dan negara dalam fasa pemulihan.

Peminjam, Nurul Munirah Abdul Rahman, 29, berkata, ada juga peminjam membuat dua pinjaman PTPTN untuk melanjutkan pengajian dan ia cukup membebankan untuk dilunaskan ketika ini.

"Ada yang melanjutkan pengajian di peringkat diploma sebelum ke peringkat ijazah. Sukar untuk membayar dua hutang berkenaan ketika ini.

"Jadi eloklah kerajaan melanjutkan lagi moratorium PTPTN sementara keadaan ekonomi pulih.

"Cadangan yang baik juga sekiranya diskaun diberikan kepada mereka yang dapat membayar secara keseluruhan atau melalui potongan debit," katanya.

Nurul Munirah yang juga pekerja swasta turut berharap kerajaan boleh melihat semula kepada peminjam yang mempunyai baki tertunggak.

"Setahu saya, jika seseorang individu itu mempunyai baki tertunggak PTPTN (direkodkan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat atau CCRIS) maka pinjaman kereta, rumah dan lain-lain pinjaman tidak dapat dibuat dan ia membebankan peminjam PTPTN.

"Sekiranya peminjam sudah mula membayar secara konsisten hutang mereka dan walaupun masih mempunyai baki tertunggak, kerajaan diharap dapat diberi kelonggaran kepada peminjam itu supaya mereka dapat membuat pinjaman lain seperti pinjaman kereta serta rumah," katanya.

Menurut Nurul Munirah, kerajaan perlu sedar kadar pengangguran di Malaysia agak tinggi dan kebanyakan daripada lepasan pengajian tinggi sukar mendapat peluang pekerjaan dan ia menyebabkan peminjam mula mempunyai baki tertunggak.

Semalam, Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan dilaporkan berkata, kerajaan dicadang meneruskan moratorium bersasar ini atau memberi diskaun kepada peminjam yang memenuhi kelayakan tertentu.

Kata beliau, beberapa cadangan termasuk lanjutan moratorium kepada peminjam PTPTN sudah diserahkan menerusi surat rasmi kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam dialog Belanjawan 2022 bersama Menteri Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 3:52 PM