M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah mengklasifikasi 17 mukim di negeri ini, sebagai lokasi berisiko berlaku banjir susulan musim monsun timur laut dan fenomena air pasang besar yang sedang melanda.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, kawasan berisiko ini dibahagi kepada dua zon iaitu membabitkan lembangan Sungai Muda di selatan dan lembangan Sungai Kedah di utara.

Menurutnya, turut dimasukkan sebagai kawasan berisiko adalah Yan yang didapati semakin kerap dilanda banjir selain kemungkinan berlaku ancaman tanah runtuh akibat struktur Gunung Jerai yang belum stabil.

KEADAAN terkini Titi Hayun selepas  dilanda banjir untuk kali kedua dalam tempoh dua bulan. FOTO Luqman Hakim Zubir
KEADAAN terkini Titi Hayun selepas dilanda banjir untuk kali kedua dalam tempoh dua bulan. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Bagi lembangan Sungai Muda, kita mengenal pasti 49 kawasan di sembilan mukim bermula dari Siong dan Bakai di Baling dan menurun ke Kulim dan ke Kuala Muda di kawasan seperti Merbok, Kota Kuala Muda dan Bukit Meriam.

"Bagi lembangan Sungai Kedah pula, terdapat 48 kawasan di lapan mukim antaranya di Pokok Sena, Anak Bukit, Titi Gajah didapati berisiko berlaku banjir kilat sepanjang musim ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Awang Askandar berkata, pertembungan monsun timur laut dan fenomena air pasang besar juga menjadi punca berlakunya banjir apabila paras air laut menjadi tinggi sehingga menyebabkan aliran sungai menjadi perlahan.

"Air pasang besar dijangka berlaku sekali lagi pada 5 hingga 8 November depan dengan paras laut boleh mencapai setinggi tiga meter menyebabkan limpahan sungai boleh berlaku kerana alirannya tidak dapat masuk ke laut.

"Berikutan itu, anggota APM sudah melakukan pemantauan termasuk bertemu penduduk di kawasan berisiko terbabit bagi memberi amaran kepada mereka agar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga," katanya.

Mengulas mengenai persediaan APM Kedah menghadapi risiko berlakunya banjir lebih besar dalam tempoh terdekat, beliau menjelaskan seramai 750 anggotanya sudah bersedia dan mampu digerakan pada bila-bila masa.

"Kita mempunyai anggota mencukupi bagi membantu penduduk di kawasan berisiko selain aset seperti 70 bot, 14 lori dan 14 ambulans akan digunakan bagi memindahkan orang ramai atau yang berhadapan kecemasan.

"Ketika ini, kawasan sekitar lembangan Sungai Muda dilihat lebih berisiko terjadinya banjir seperti yang berlaku di Baling pada awal bulan ini dengan risiko di lembangan Sungai Kedah adalah lebih rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 3:09 PM