ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam acara Jelebu Walkathon Off Road. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam acara Jelebu Walkathon Off Road. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Pikul tiga liter air sambil berlari. Itu antara cabaran unik diberi kepada peserta 'Jelebu Walkathon Off Road' di sini, tadi, selain perlu melalui jalan mendaki dengan kecuraman 10 peratus.

Program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ( MPKK ) Kampung Ulu Jelebu, Hotel Sri Klawang dan Pusat Khidmat DUN Klawang itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu, Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu, Pejabat Perikanan Daerah Jelebu, RELA, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam ( APM ) dan MPKK di bawah DUN Klawang.

Pengerusi MPKK Kampung Ulu Jelebu, Mohd Khidzir Mohd Zain berkata, peserta perlu membawa beg galas bagi menyimpan dua botol air berkenaan sebagai bebanan.

Katanya, ada peserta bertindak membuang air berkenaan di pertengahan jalan.

"Kita mahu memberi cabaran kepada peserta apabila berjalan sejauh 8.4 kilometer termasuk 6.5 kilometer jalan berbukit dan tanah merah.

"Seramai 200 peserta mengambil bahagian pada program yang dianjurkan ini. Biarpun ramai yang mahu turut serta namun kami terpaksa hadkan bagi memastikan semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penularan Covid-19," katanya.

Turut serta dalam acara itu adalah Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin.

Penganjur Bersama, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, Jelebu Walkathon Off Road yang diadakan kali pertama turut menerima penyertaan peserta dari Putrajaya dan Sepang.

"Ini antara usaha dilakukan bagi menarik lebih ramai kehadiran orang ramai ke daerah ini yang turut dikenali sebagai lokasi pendakian dikalangan pendaki.

"Jarak dilalui peserta bersamaan 11,076 langkah dan acara ini juga baik untuk penjagaan kesihatan," katanya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah cabutan bertuah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:54 PM