PENDUDUK membersihkan kawasan persekitaran rumah selepas dilanda banjir untuk kali kedua. FOTO Luqman Hakim Zubir
PENDUDUK membersihkan kawasan persekitaran rumah selepas dilanda banjir untuk kali kedua. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Yan: "Air kali ini agak kuat, saya rasa seperti tsunami kecil...air masuk ke dalam rumah terlalu cepat," kata Aisyah Abdul Wahab, 53, yang menetap di di Jalan Masjid, di sini.

Peniaga makanan ini berkata, dia masih lagi trauma dengan kejadian banjir lumpur 18 Ogos lalu sehingga tidak pernah tenang setiap kali hujan.

Katanya, air yang melimpah ke dalam rumahnya malam kelmarin menyebabkan dia letih berikutan perlu kembali membersihkan rumahnya.

"Setiap kali hujan saya akan keluar tengok paras air di sungai tapi ketika saya ambil ambil wuduk untuk solat maghrib kelmarin, tak sangka air masuk terlalu cepat ke dalam bilik air sebelum memenuhi rumah.

"Saya sempat selamatkan peti ais sahaja, barang lain ada yang baru beli selepas perabot lama terpaksa dibuang," katanya ketika ditemui, hari ini.

Aisyah berkata, keretanya turut rosak dalam fenomena kepala air 18 Ogos lalu dan belum mempunyai wang yang mencukupi untuk membaik pulih keretanya selepas tidak dapat berniaga.

"Baru-baru ini saya sudah membuat persiapan untuk memulakan perniagaan kerana sudah terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tak sangka dugaan datang bertimpa," katanya.

AISYAH mengemas sebahagian peralatan kedai makan yang rosak. FOTO Luqman Hakim Zubir
AISYAH mengemas sebahagian peralatan kedai makan yang rosak. FOTO Luqman Hakim Zubir

Jiran kepada Aisyah, Rosli Mohamad, 51, berkata, dia baru sahaja membuat perancangan untuk membeli perabot baharu namun terpaksa menangguh dahulu niatnya berikutan bimbang banjir akan berlaku lagi.

Katanya, dia segera membersihkan barang di dalam rumahnya kerana bimbang akan rosak dan reput sekiranya dibiarkan.

"Tikar getah ini hasil sumbangan orang ramai yang menderma, jadi saya perlu bersihkan dan gunakan semula kerana menghargai pemberian orang yang bermurah hati membantu kami di sini selepas banjir lumpur 18 Ogos lalu," katanya.

Penduduk Kampung Setol, Zulkifli Mat, 50, berkata, selepas fenomena kepala air Ogos lalu, sungai yang terletak beberapa meter dari rumahnya semakin cetek.

Katanya, ia disebabkan aliran air deras turut membawa batu dan pasir selain tebing sungai runtuh.

"Keluarga saya masih trauma dengan kejadian kepala air sebelum ini, letih bersihkan rumah belum habis lagi, sekarang terpaksa tempuh kejadian yang hampir sama sekali lagi walaupun banjir kali ini tidak sampai paras setengah meter.

"Saya harap kerajaan dapat mempercepatkan proses mendalamkan sungai, kami hidup dalam ketakutan apabila lihat langit gelap, dulu kami rasa tenang apabila dengar deruan air sungai tapi sekarang rasa takut yang sukar digambarkan apabila hujan," katanya yang tinggal di situ sejak 2016.

Sementara itu, Arani Khamis, 48, berkata, dia masih tidak dapat tidur nyenyak dengan fenomena kepala air pada 18 Ogos lalu apabila mayat pertama ditemui di hadapan rumahnya.

Katanya, halaman rumahnya kini adalah sungai selepas berlaku perubahan aliran sungai selepas kejadian 'tsunami kecil' sebelum ini.

"Sebelum ini saya lihat tempat lain ditimpa musibah tapi sekarang berlaku di tempat sendiri, mujurlah pokok kelapa berhampiran tidak menghempap bumbung rumah selepas tumbang kelmarin," katanya yang juga tinggal di Kampung Setol.

Pada kejadian Rabu lalu, kira-kira 160 rumah di daerah Yan terjejas apabila rumah mereka ditenggelami banjir kilat selepas hujan lebat di kawasan sekitar Gunung Jerai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 9:54 PM