Nuraliawati Sabri


Melaka: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kebajikan dan pendidikan empat anak anggota bomba yang maut akibat lemas, semalam, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Mohd Diya Che Jusoh, akan diberi perhatian.

Setiausaha Politiknya, Datuk Syed Fazmi Sayid Mohamad berkata, antara akan diberi perhatian adalah hasrat anak sulung arwah yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif.

"Insya-Allah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil maklum perkara ini untuk tindakan lanjut bagi membolehkan hasrat untuk masuk ke kolej vokasional tercapai.

"Kita akan bantu anak sulungnya itu yang amat berminat dalam bidang automotif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh dan menyampaikan sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri di Krubong Jaya, di sini, hari ini.

DATUK Syed Fazmi Sayid Mohamad (kiri) turut hadir Abu Bakar Katain (kanan) semasa menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh di Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
DATUK Syed Fazmi Sayid Mohamad (kiri) turut hadir Abu Bakar Katain (kanan) semasa menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh di Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

Beliau berkata, beberapa inisiatif akan diambil bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam membantu keluarga itu bagi meringankan tanggungan keluarga arwah.

Menurutnya, Perdana Menteri turut memberi jaminan kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan keluarga Allahyarham dari semasa ke semasa termasuk pencen akan diuruskan JBPM.

"Malah, kami difahamkan, pihak Ranhill turut mengambil inisiatif akan membantu pendidikan anak arwah selain menjadikan mereka anak angkat," katanya.

Dalam kejadian pada petang Rabu lalu, Allahyarham dibawa arus deras ketika menjalankan operasi menyelamat penduduk yang terperangkap dalam banjir di Kampung Sungai Putat.

Beliau yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Melaka sebelum meninggal dunia pada 3.11 pagi semalam.

Arwah meninggalkan balu, Noraida Che Noh, 39, selain empat anak iaitu Muhammad Daniel Hakime, 18; Nurul Ain Balqis, 16; Muhammad Danish Hakim, 12 dan Nurul Annisa Ilya, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:54 PM