Amirudin Shari pada sidang media selepas Pelancaran Selangor Aviation Show 2021 di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Amirudin Shari pada sidang media selepas Pelancaran Selangor Aviation Show 2021 di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 3,416 pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sekolah Rendah Agama Islam Integrasi (SRAI) dan Maahad Tahfiz di negeri ini akan menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) Remaja, bermula Ahad ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program akan bermula di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pandamaran Jaya, Klang itu khusus bagi remaja berusia 12 tahun ke atas.

Beliau berkata, program itu inisiatif kerajaan negeri untuk mempercepatkan vaksinasi remaja dan membantu melancarkan proses pembukaan institusi pendidikan di Selangor.

Menurutnya, sehingga kini, sejumlah 3,416 nama pelajar diterima untuk program ini membabitkan 1,235 pelajar MITS; 1,181 pelajar SRAI; dan 1,000 pelajar dari 50 Maahad Tahfiz di negeri ini.

"Program SelVAX Remaja akan turut dilaksanakan di beberapa lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), antaranya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang, Dun Tanjung Sepat, Dun Bukit Lanjan, Dun Pandamaran dan lain-lain yang akan beroperasi dari 9 pagi sehingga 5 petang.

"Program ini akan menggunakan kaedah pra-pendaftaran melalui kod baucer di aplikasi SELangkah seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Pihak sekolah akan diberikan kod baucer khusus yang membolehkan pelajar melakukan pendaftaran kendiri di aplikasi SELangkah bagi melancarkan proses pemberian vaksinasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak Selangor Health Care (SelCare) akan membantu proses pendaftaran pelajar yang tidak mempunyai telefon pintar atau tidak mempunyai akses kepada aplikasi SELangkah.

Beliau berkata, pihak sekolah akan dibekalkan dengan borang persetujuan vaksinasi akan diisi ibu bapa bagi pelajar terbabit sebelum suntikan diberikan.

"Selain pelajar sekolah, program ini turut dibuka bagi pendaftaran remaja tidak bersekolah, warganegara dan bukan warganegara masih belum menerima janji temu vaksinasi dos pertama dan penerima vaksin SelVAX yang terlepas janji temu dos kedua.

"Bagi memastikan tiada warga Selangor tercicir dari program vaksinasi, Program SelVAX Komuniti akan diteruskan di klinik Selcare bermula 28 Oktober ini dan klinik panel di seluruh Selangor bermula 1 November," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:39 PM