Nuraliawati Sabri


Melaka: Hasil siasatan membabitkan insiden kematian anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas selepas dibawa arus deras dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan membabitkan kejadian meragut nyawa Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Mohd Diya Che Jusoh, ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Rabu lalu.

Beliau berkata, siasatan akan merangkumi beberapa aspek termasuk prosedur operasi standard (SOP) dan beberapa perkara perlu diperincikan.

"Kita akan memanggil beberapa saksi kejadian untuk membantu siasatan. Setakat ini yang dikenal pasti masyarakat awam antara tiga atau empat orang yang turut membantu mangsa.

"Saya mensasarkan hasil siasatan akan diperoleh dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Fazmi Sayid Mohamad di kediaman Allahyarham Mohd Diya di Krubong Jaya, di sini, hari ini.

SYED Fazmi (kiri) dan Abu Bakar (kanan) menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh di Taman Krubong, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
SYED Fazmi (kiri) dan Abu Bakar (kanan) menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh di Taman Krubong, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Mengulas lanjut, beliau berkata, jawatankuasa ditubuhkan itu terdiri daripada pegawai dari Ibu Pejabat JBPM.

Menurutnya, hasil siasatan itu akan digunakan untuk melakukan penambahbaikan yang perlu.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Diya tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras ketika membantu mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

Beliau kemudian dilaporkan bergantung dengan alat bantuan pernafasan ketika menerima rawatan di Hospital Melaka sebelum meninggal dunia pada 3.11 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:23 PM