GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Essa Abu Yamin


Tangkak: Perikatan Nasional (PN) dijangka bertanding di semua 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengarahkan supaya rundingan antara komponen dalam PN termasuk Pas dan Gerakan diadakan segera untuk mencapai kemenangan dalam PRN Melaka.

"Kita sudah menjangkakan keputusan UMNO yang enggan bekerjasama namun mengambil pendekatan berhemah untuk menunggu parti itu menyatakan pendirian.

"Ia termasuk keputusan sama ada sedia bekerjasama bagi mengelak pertembungan pada PRN Melaka," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, kini UMNO mengesahkan untuk tidak bekerjasama dan PN bersedia untuk hadapi apa saja bentuk pertandingan sama ada secara dua, tiga atau empat penjuru pada pilihan raya itu.

"Sebab itu semalam saya gesa segerakan rundingan antara parti dalam PN. Pada dasarnya mereka bersetuju 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kita bahagikan mengikut situasi dan keadaan dengan harapan PN dapat mencapai kejayaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memaklumkan tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam mana-mana dalam pilihan raya.

Sementara itu, ketika di tanya mengenai kewajaran untuk menangguh PRN Melaka berikutan berlaku peningkatan kes di Melaka , ADUN Gambir itu berkata PRN Melaka perlu diteruskan.

"Ini adalah fakta dan dalam perlembagaan bahawa perkara itu tidak dapat ditangguhkan lagi.

"Tuan Yang di-Pertua Negeri sudah memutuskan untuk membubarkan DUN dan telah dinyatakan dalam perlembagaan bahawa kita perlu mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari.

"Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh dan perlu segera mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penyebaran Covid-19 ketika pilihan raya berlangsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:10 PM