Essa Abu Yamin


Tangkak: Kerajaan digesa bertindak tegas terhadap golongan enggan divaksin tanpa alasan kukuh supaya mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas dan berkesan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keengganan individu menerima vaksin adalah membimbangkan walaupun jumlah itu hanya mencatatkan 10 peratus.

Katanya, kumpulan berkenaan secara tidak langsung berisiko dan berpotensi merencatkan usaha kerajaan dalam memulihkan semula ekonomi.

"Sebab itu pandangan saya adalah kerajaan perlu pertimbangkan sama ada mahu jadikan ia sebagai mandatori.

"Apakah mereka ada halangan sama ada daripada segi perundangan atau perlembagaan ataupun melakukan apa cara sekalipun supaya golongan yang menolak berkenaan dapat diberikan nasihat untuk menerimanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini, hari ini.

Menurutnya, disebabkan tidak mahu menerima vaksin, mereka tidak boleh menggunakan kemudahan aplikasi MySejahtera yang turut memaparkan sijil digital vaksinasi untuk menikmati kelonggaran yang diberikan.

TAN Sri Muhyiddin Yassin ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini, hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
TAN Sri Muhyiddin Yassin ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini, hari ini. FOTO Essa Abu Yamin

"Jadi kalau mereka tiada sijil, mereka secara semulajadi menafikan hak untuk mendapat kemudahan sama ada nak masuk restoran, masjid, hotel atau di mana sekalipun yang kini menjadi norma baharu di Malaysia," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu berkata, sebelum ini kerajaan tidak menguatkuasakan perkara berkenaan kerana memberi tumpuan kepada usaha pemberian vaksin kepada rakyat dengan segera.

Beliau berkata, sudah tiba masa ketegasan kepada golongan enggan divaksin diperhalusi yang kebanyakannya terpengaruh dengan berita tidak sahih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 6:39 PM