HISHAMMUDDIN berucap ketika majlis penutup Mesyuarat FPDA ke-11. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HISHAMMUDDIN berucap ketika majlis penutup Mesyuarat FPDA ke-11. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Negara yang menganggotai Pengaturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) komited untuk bersatu dalam menghadapi ancaman masa depan termasuk keganasan dan jenayah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, setiap negara menghadapi perubahan landskap dan cabaran masing-masing selepas pandemik Covid-19.

Menurutnya, FPDA menjadi landasan penting dalam menghadapi ancaman keganasan dan jenayah secara menyeluruh di rantau ini.

"Kita (negara anggota FPDA) akan mengumpul maklumat berhubung setiap ancaman yang berpotensi berlaku di kawasan berkenaan.

"Kita juga mengambil maklum mengenai isu ancaman di luar rantau ini. Ia adalah cabaran yang dihadapi secara bersama.

"Cabaran terbesar bukan ancaman itu, sebaliknya bagaimana nak pastikan kita bersatu dan organisasi ini mempunyai pengaruh di luar FDPA.

"Ini perkara yang kita bincang termasuk pengaturan isu pertahanan dengan kumpulan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri acara sambutan 50 Tahun FDPA dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan FPDA Ke-11 (FDMM) di sini, hari ini.

Sidang media berkenaan turut diadakan secara maya yang dihadiri Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton, Menteri Pertahanan New Zealand Peeni Henare dan Menteri Pertahanan United Kingdom James Heappey.

Kesemua Menteri Pertahanan terbabit turut menandatangani deklarasi bersama menerusi FDMM sebagai tanda dan memperingati kerjasama negara anggota.

Hishammuddin berkata, cabaran yang dihadapi ketika ini harus dilihat sebagai peluang menjalin hubungan yang lebih erat, proaktif dan fleksibel selaras perubahan landskap.

Mengenai FDMM ke-11, beliau berkata, mereka berpeluang menerima panggilan hormat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Katanya, panggilan hormat secara bersama itu adalah kali pertama dalam sejarah FDPA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 10:39 PM