GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai aduan berkaitan maklumat pengeluar yang dipaparkan pada sijil digital vaksinasi Covid-19 berbeza daripada sijil 'Lot Release' dalam laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, semakan mendapati berlaku pertindihan data antara kelompok berbeza menggunakan nombor Global Trade International Number (GTIN) sama dalam Vaccine Management System (VMS), iaitu sistem pengurusan data produk vaksin Covid-19.

Merujuk artikel yang dipaparkan oleh sebuah portal, Khairy menjelaskan, maklumat pengeluar pada sijil 'Lot Release' bagi dos pertama pengadu dengan nombor kelompok ABX6083 iaitu AstraZeneca AB, Sodertalje Sweden, adalah tepat.

"Ketika ini semua produk vaksin Covid-19 jenama AstraZeneca yang diterima melalui fasiliti COVAX (program perkongsian vaksin global) menggunakan kod GTIN yang sama seperti diperuntukkan kepada SK Bioscience dalam sistem VMS.

"Hal ini menyebabkan sijil digital vaksinasi pengadu memaparkan SK Bioscience sebagai pengeluar selaras dengan data yang dibekalkan oleh VMS kepada MySejahtera," katanya dalam sidang media secara hibrid, di sini, hari ini.

Bagi mengatasi masalah itu, Khairy berkata, KKM sedang mengemas kini maklumat bagi semua data yang terbabit dan tindakan dijangka selesai sebelum akhir bulan ini.

Menurutnya, pengemaskinian itu dijangka babitkan hampir 100,000 data penerima vaksin AstraZeneca dan data yang dikemas kini akan diselaraskan kepada pengguna melalui aplikasi MySejahtera secara automatik.

Sementara itu, Khairy menegaskan tidak berlaku pencerobohan kepada pangkalan data dan maklumat di MySejahtera susulan beberapa aduan pengguna menerima e-mel dan SMS palsu daripada aplikasi berkenaan.

"Siasatan awal oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mendapati penghantaran e-mel dan SMS palsu itu disebabkan penyalahgunaan aplikasi pengaturcaraan antara muka (API).

"Sudah pasti kita sedang menerima beberapa lagi aduan dan kita telah laksana dua kaedah untuk memperbaiki keselamatan ini dan tambahan hari ini pula kita lakukan pendaftaran secara manual bilangan individu bagi memastikan tiada kemasukan melalui pintu belakang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 9:11 PM