ABDUL Karim Rahman, gambar fail. FOTO NSTP
ABDUL Karim Rahman, gambar fail. FOTO NSTP
Melvin Joni


Asajaya: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak kemungkinan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dibubarkan dalam beberapa hari lagi.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak berkata, ia bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN Ke-12) Sarawak diadakan, selepas Dun yang sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu ditunda susulan perlanjutan Proklamasi Darurat diteruskan di Sarawak sehingga 2 Februari tahun depan.

"Mungkin dalam sehari, dua ini kita akan mendengar berita berkenaan pembubaran Dun.

"Saya sendiri sedang menunggu kerana kita perlu memberi semula mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang akan datang," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan projek Jalan Pesisir PA1 - Simpang Tambey ke Asajaya, di sini, hari ini.

Hadir bersama Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Ketika ini, desas-desus mengenai PRN-12 Sarawak mula timbul apabila beberapa portal berita melaporkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka membubarkan Dun esok.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Menteri menafikan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini, dengan menyatakan tidak ada pengumuman seumpama itu yang dijadualkan buat masa sekarang atau esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 4:54 PM