Jenazah Allahyarham Mohd Diya dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong hari ini untuk dikebumikan, hari ini. FOTO BERNAMA
Jenazah Allahyarham Mohd Diya dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong hari ini untuk dikebumikan, hari ini. FOTO BERNAMA
Nuraliawati Sabri


Melaka: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mempertimbangkan kenaikan pangkat kepada Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang lemas selepas dibawa arus deras dalam kejadian di Kampung Sungai Putat, di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya akan melihat beberapa aspek berkaitan dalam mempertimbangkan kenaikan pangkat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah itu.

"Untuk itu kita akan bawakan perkara ini ke peringkat tertinggi untuk pertimbangkan, sekiranya ada ruang Insya-Allah seperti Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

"Beliau sebenarnya baru dinaikkan pangkat, mendapat KUP 22, bagaimanapun kita akan pertimbangkan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemergian arwah adalah satu kehilangan besar buat warga JBPM kerana Mohd Diya mempunyai pengalaman luas dalam operasi menyelamat.

Menurutnya, selain itu, arwah adalah anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) sejak 2006.

"Satu jawatankuasa dalaman akan ditubuhkan bagi menyiasat insiden itu.

"Kita akan melihat setiap sudut sekiranya ada kelemahan dan kekurangan agar dapat ditambah baik supaya perkara sama tidak berulang.

"Malah kebajikan anak arwah akan dipantau dan akan membantu keperluan mereka seperti bantuan persekolahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 4:11 PM