Zuliaty Zulkiffli

Yan: Laluan Tanjung Jaga ke Tanjung Dawai di sini, ditutup sementara bermula hari ini untuk kerja pembersihan jalan berikutan berlaku tanah runtuh malam tadi.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, tanah runtuh menyebabkan beberapa pokok tumbang dan kerja pembersihan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian tanah runtuh dipercayai berlaku pada 11.30 malam.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kenderaan atau motosikal dilaporkan terperangkap dalam kejadian itu.

"Laluan ditutup sepanjang 30 meter iaitu dari Kilometer (KM) 48.4 hingga ke KM48.5 dan pengguna jalan raya perlu mencari alternatif lain untuk meneruskan perjalanan.

"Laluan ini akan dibuka selepas selesai kerja pembersihan dilakukan. Setakat ini masih ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian hari ini.

Shahnaz berkata, hujan lebat semalam turut menyebabkan 386 rumah Mukim Singkir dan Yan terjejas dan dinaiki air berikutan arus deras dari Gunung Jerai.

Katanya, ia bukan kerana kejadian kepala air seperti yang berlaku pada 18 Ogos lalu namun ia disebabkan hujan lebat.

"Bagaimanapun tiada laporan diterima setakat ini berhubung kejadian banjir kilat yang berlaku itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 2:01 PM
SHAHNAZ Akhtar Haji meninjau kerja pembersihan jalan di laluan Tanjung Jaga ke Tanjung Dawai yang ditutup berikutan tanah runtuh. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SHAHNAZ Akhtar Haji meninjau kerja pembersihan jalan di laluan Tanjung Jaga ke Tanjung Dawai yang ditutup berikutan tanah runtuh. FOTO Zuliaty Zulkiffli