SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil dan Pengarah PERHILITAN Johor, Aminuddin Jamin, bagi membincangkan isu habitat gajah di negeri ini, di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, pagi tadi. FOTO Ihsan RPO
SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil dan Pengarah PERHILITAN Johor, Aminuddin Jamin, bagi membincangkan isu habitat gajah di negeri ini, di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, pagi tadi. FOTO Ihsan RPO
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bertitah Pusat Santuari Gajah (JES) di Kota Tinggi mampu menjadi produk pelancongan baharu di negeri itu selain berupaya meningkatkan kualiti habitat haiwan berkenaan.

Pusat Santuari Gajah itu dijangka dibuka kepada orang awam selepas berakhirnya pembinaan fasa dua pada 2025, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil dan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminuddin Jamin di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini, pagi hari ini.

Dalam pertemuan itu, Aminuddin mempersembahkan taklimat pelaksanaan dan perkembangan penyelarasan Projek Santuari Gajah Johor kepada Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Aminuddin berkata, tujuan pembinaan pusat berkenaan bagi memperkasakan pengurusan gajah di Johor selain mengurangkan masalah gangguan gajah liar di kawasan pertanian serta penempatan penduduk khususnya di Kota Tinggi.

Menurutnya, santuari gajah itu turut berperanan menyediakan peluang aktiviti berasaskan eko-pelancongan lestari dan mampu menjana sosio-ekonomi penduduk setempat.

"Komponen pembangunan yang disiapkan dalam fasa satu membabitkan padok gajah, padang ragut, jambatan, jalan masuk utama, bangunan pentadbiran serta berek pekerja," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi Facebook Sultan Ibrahim, hari ini.

Semalam, media melaporkan penduduk di Taman Bandar Tiram di Ulu Tiram di sini, dikejutkan dengan kemunculan beberapa ekor gajah.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan video tular berdurasi lima saat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman penduduk yang memaparkan beberapa ekor gajah dewasa berlari di hadapan rumah penduduk di taman perumahan berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada 5.17 pagi 19 Oktober itu membabitkan dua gajah dipercayai berkeliaran dari Batu 14 1/2 Sungai Tiram ke kawasan belakang Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada).

Sementara itu, Aminuddin turut mempersembahkan taklimat pelaksanaan pembangunan Fasa 2 JES (2020-2025) kepada Sultan Johor.

Antara lain ia merangkumi aktiviti kemudahan pelawat, pemantauan pagar elektrik serta kelengkapan, sistem amaran awal, pembangunan lanskap serta program bersama penduduk setempat.

Kemudahan dataran pelawat antara lain menempatkan surau, kedai cenderahati, kafe, laluan siar kaki, mercu tanda, taman permainan, wakaf dan pelbagai lagi.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 12:42 PM