PEMANDANGAN dari udara kawasan DUN Sarawak. FOTO Bernama
PEMANDANGAN dari udara kawasan DUN Sarawak. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching : Khabar angin pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) bertiup kencang sejak malam tadi.

Ada yang mendakwa pembubaran akan berlaku Jumaat ini sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Sarawak.

Malah ada juga yang meramal DUN akan dibubar Isnin ini, selepas selesai lawatan Ismail Sabri serta beberapa menteri Persekutuan ke Sarawak antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Namun, ramai yang tersentak apabila ada yang meramalkan ianya akan berlaku hari ini dan lebih mengejutkan apabila spekulasi itu disiarkan akhbar tempatan menerusi berita dalam talian malam tadi.

Tetapi 'Panglima' Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg pula sibuk di luar Kuching sepanjang hari ini.

Beliau dijadual menghadiri tiga majlis berasingan di Sri Aman mulai jam 10 pagi hingga jam 4 petang nanti.

Jadi kemungkinan bahawa beliau akan mengumumkan pembubaran DUN hari ini adalah tipis.

"Tak mungkin beliau umumkan hal penting itu di Sri Aman kerana secara tradisinya sejak zaman Tun Taib lagi (Tun Abdul Taib Mahmud) pengumuman akan dibuat di Kuching tepatnya di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia," katanya seorang ahli kanan sebuah parti politik.

Namun, segala kemungkinan boleh berlaku kerana PRN-12 adalah yang pertama Abang Johari akan menjadi ketua kepada empat komponen parti yang membentuk GPS.

Juga yang pertama bagi parti pemerintah kerajaan Sarawak itu 'bertempur' di luar pakatan Barisan Nasional (BN).

"Mungkin juga Abang Jo akan buat sesuatu yang baru. Manalah tau tiba-tiba beliau umumkan di Sri Aman hari ini," kata orang politik itu lagi.

DUN Sarawak terbubar secara automatik selepas tempohnya tamat pada 7 Jun lalu.

Bagaimanapun, proses pilihan raya tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Pada 30 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh di Sarawak bermula 2 Ogos lalu hingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan PRN-12 Sarawak boleh diadakan sebelum tempoh darurat tamat pada 2 Februari 2022

Menurutnya, terdapat dua perkara dalam Ordinan Darurat Sarawak 2021 yang membolehkan situasi itu berlaku selari dengan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Pertama, darurat boleh disingkatkan oleh Yang di-Pertuan Agong jika ia diperlukan dan keduanya, pilihan raya boleh diadakan jika Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan persetujuan kerajaan negeri iaitu Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri.

Selepas penjelasan Wan Junaidi itu, tersebar pula khabar angin bahawa Abang Johari sudah pun menghadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan bagi cadangan pembubaran DUN.

Meskipun tiada penafian daripada Pejabat Ketua Menteri, ada pegawai di pejabat berkenaan memberi bayangan seolah-olah ia memang sudah berlaku.

PRN Melaka sudah diketahui tarikhnya, jadi kini tumpuan pastinya terarah ke Sarawak yang kemungkinan besar Abang Johari akan membuka mulut mengenainya, kalau bukan hari ini, mungkin esok, kalau tak lusa atau boleh jadi Isnin?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 10:42 AM