TAMAN Negara Johor Gunung Ledang. FOTO Arkib NSTP
TAMAN Negara Johor Gunung Ledang. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Taman Negara di negeri ini bersedia untuk menerima kedatangan pengunjung selepas dibenarkan beroperasi semula bermula pada 1 November ini.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Hanis Musalman Salehan berkata, ia meliputi Taman Negara Johor Endau-Rompin Peta, Taman Negara Johor Endau-Rompin Selai, Taman Negara Johor Gunung Ledang dan Taman Negara Johor Tanjung Piai yang dibuka sepenuhnya.

Katanya, bagi Taman Negara Johor Pulau Kukup dibuka hanya bagi aktiviti memancing dan menaiki bot.

"Pembukaan taman-taman negara Johor adalah selaras dengan kebenaran yang termaktub di bawah garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengunjung perlu mematuhi syarat yang ditetapkan, antaranya lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dan sentiasa memakai pelitup muka.

"lndividu yang sudah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan membawa masuk anak berusia bawah 18 tahun bagi sebarang aktiviti dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat," katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang Perbadanan Taman Negara Johor, www.johornationalparks.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 10:10 AM