Nuraliawati Sabri


Melaka: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini dibuka selepas penempatan penduduk dinaiki air susulan hujan berterusan hingga malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel PA Cuthbert John Martin Quadra berkata, tiga PPS yang dibuka adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bemban, Jasin; SMK Tun Mutahir, Melaka Tengah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Alor Gajah.

"Bagaimanapun jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas masih belum dikenal pasti kerana mereka kini dalam proses pendaftaran di PPS.

"Kesemua kawasan yang terjejas membabitkan 36 kawasan iaitu sembilan di daerah Alor Gajah dan tujuh di Jasin, manakala Melaka Tengah merekodkan kawasan paling banyak terjejas dengan 20 lokasi," katanya.

PENEMPATAN penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO NSTP
PENEMPATAN penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO NSTP

Beliau berkata, antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Dalong, Kampung Ganun, Parit Melana dan Ramuan Cina Besar di Alor Gajah.

"Manakala di Jasin pula membabitkan kawasan Pekan Merlimau, Jasin Bestari, Tehel dan Asam Kumbang.

"Di Melaka Tengah pula, kawasan terjejas adalah di Sungai Putat, Bukit Beruang, Taman Rambai Jaya, Kampung Bukit Duyong, Kampung Perigi Hang Tuah dan Kampung Morten serta Pengkalan Rama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 9:23 PM