GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Fungsi permohonan Pendaftaran Kod QR MySejahtera (daftar masuk) untuk perniagaan, premis, pengangkutan awam dan lain-lain dikesan sudah disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan hari ini menjelaskan perkara itu dikesan pasukan MySejahtera yang melakukan siasatan selepas mendapat aduan.

KKM menerima aduan melalui MySejahtera dan media sosial mengenai mesej OTP () yang diterima untuk mengesahkan nombor telefon pengguna bagi pendaftaran Kod QR MySejahtera dan emel spam daripada helpdesk MySejahtera.

"Berdasarkan siasatan awal dan tindakan perlu yang dilakukan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), penghantaran emel dan SMS palsu adalah disebabkan oleh penyalahgunaan API () dan bukannya kebocoran pada pangkalan data MySejahtera.

"Di dalam laman sesawang MySejahtera, terdapat satu ciri atau fungsi Pendaftaran MySejahtera untuk perniagaan, premis, pengangkutan awam dan lain-lain mendapat dan memaparkan Kod QR MySejahtera.

"Untuk melengkapkan permohonan itu, pemohon antara lain perlu memasukkan maklumat seperti alamat emel atau nombor telefon bagi mendapatkan OTP," katanya.

KKM berkata, hasil siasatan mendapati fungsi permohonan Pendaftaran Kod QR MySejahtera itu sudah disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pihak yang berkenaan menggunakan alamat emel atau nombor telefon secara rawak untuk melakukan proses pendaftaran.

Katanya, jika nombor telefon atau alamat emel yang dimasukkan secara rawak itu wujud, MySejahtera akan menghantar OTP kepada pemilik nombor telefon atau alamat emel bagi mengesahkan pendaftaran itu.

"Selain itu, fungsi di dalam laman sesawang yang sama juga disalah guna untuk menghantar emel spam secara rawak.

"Berikutan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini, pasukan MySejahtera meningkatkan lagi tahap keselamatan aplikasi dan laman sesawang MySejahtera bagi mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang.

"Untuk makluman, buat masa ini aplikasi dan laman sesawang MySejahtera adalah di bawah kelolaan bersama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 6:23 PM