SITI NORDIANA
SITI NORDIANA
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Penyanyi, Siti Nordiana Alias memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa dirinya sering disindir di Instagram (IG) Live Lan Solo, sehingga peminat mula menyedari perkara itu dan mempercayai kata-kata fitnah dilemparkan terhadapnya.

Siti Nordiana, 37, atau lebih dikenali sebagai Nana dalam keterangannya berkata, siaran IG Live oleh lima individu termasuk Lan Solo dan Syura menyebabkan beliau digambarkan sebagai individu yang angkuh, tidak menghormati orang dan bermoral rendah sehingga mengundang kecaman warganet.

Menjawab soalan peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Lan Solo, isterinya, Nur Sheila Hassim dan Syura sama ada IG Live itu ditujukan kepada beliau atau menyebut namanya, Nana menjawab: "Sebelum ini mereka dah banyak kali sindir saya di IG."

Azlan: "Anda kata Lan Solo fitnah anda dengan menyatakan 'sampai tak pandang kita ni siapa' itu adalah fitnah.

Apa perkataan fitnah yang cuba disampaikan?

Nana: "Apa yang dia cakap, perangai saya tak elok, tidak menghormati orang, saya angkuh."

"Konon tak pandang mereka siapa dan buatkan orang percaya sedangkan saya tidak pernah buat begitu pada mereka," katanya.

Akibatnya, Nana berkata, beliau menerima kecaman netizen yang menyatakan beliau seorang bermuka-muka, mempunyai perangai tidak baik dan seorang penghidap bipolar.

"Di IG Live terdapat komen daripada netizen yang turut mengatakan 'tak sangka Nana begitu, teruknya perangai Nana dan kasihan peminat dia," katanya.

Sementara itu, ketika disoal berhubung isu wang yang dibangkitkan, Nana berkata, ia menggambarkan beliau berkira soal wang selain seorang yang kedekut dan artis bermoral rendah.

"Kalau orang lain baca dan mereka akan anggap saya begitu.... padahal saya tidak begitu," katanya.

Nana berkata demikian pada perbicaraan hari pertama kes saman difailkan terhadap Lan Solo, 36, Nur Sheila dan Syura, 35, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah, 42.

Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Sivil di sini.

Dalam saman itu, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, turut menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang ditentukan oleh mahkamah.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung 19 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:54 PM