Mohamad Alamin
Mohamad Alamin
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyarankan kakitangan khidmat sokongan termasuk kerani dan pekerja am supaya mengambil kit ujian pantas (RTK-Antigen) menggunakan air liur secara berkala sepanjang bertugas di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, usaha itu bagi mengawal penularan dalam kalangan kakitangan dan pekerja berkenaan, selain melindungi pelajar.

"Kita memang akan memastikan pekerja khidmat sokongan termasuk kerani supaya melengkapkan vaksinasi dan kita minta mereka lakukan ujian kendiri secara berkala demi keselamatan anak di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Khairil Nizam Khirudin pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Bagi guru yang masih enggan divaksin tanpa alasan munasabah, beliau berkata, sepatutnya tiada lagi alasan diberi guru berkenaan memandangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan pekeliling supaya semua penjawat awam termasuk guru diwajibkan mengambil vaksin.

"Kita sudah arahkan, minta supaya mereka ambil vaksin secara keseluruhannya mengikut pekeliling JPA yang dikeluarkan pada 30 September berhubung syarat vaksinasi lengkap.

"Dalam arahan itu cukup jelas, mereka kena taat dan ikut," katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk A Kesavadas berkata, KPM sudah merangka persiapan menghadapi situasi luar jangka terutama jika berlaku penularan mendadak Covid-19 di sekolah.

"Kita sudah merangka persiapan, kita sudah sedia menghadapi jika berlaku kenaikan kes pada waktu persekolahan.

"Sudah pasti kita amat bimbang dengan situasi ini, namun jaminan kita kepada pelajar yang akan hadapi peperiksan, kita akan pastikan mereka dapat akses pembelajaran sewajarnya," katanya.

KPM sebelum ini membenarkan pembukaan sekolah bagi murid tahap satu di negeri dan daerah yang sudah mencapai Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan Langkawi, Labuan serta Negeri Sembilan sudah memulakan sesi persekolahan mereka sejak Ahad dan Isnin lalu.

Sementara, bermula awal Julai lalu, kebenaran diberikan kepada pelajar dan guru sekolah bagi kelas peperiksaan untuk mula kembali ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 3:17 PM