GARI, wang tunai dan kenderaan antara barangan dirampas daripada suspek geng samun penguatkuasa. FOTO IHSAN PDRM
GARI, wang tunai dan kenderaan antara barangan dirampas daripada suspek geng samun penguatkuasa. FOTO IHSAN PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Dua anggota penguat kuasa jabatan kerajaan antara empat yang ditahan dalam serbuan di Sandakan, hari ini selepas disyaki menyamun di sini.

Kesemua lelaki berusia 25 hingga 43 tahun itu dikatakan berasal dari Sandakan dan dua anggota penguat kuasa itu turut bertugas di daerah terbabit.

Bagaimanapun, mereka dipercayai merentas daerah hingga ke sini sebelum menyamun di sebuah rumah di Kampung Rampek, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, kesemua suspek itu ditahan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran.

Menurutnya, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek jenis Proton Preve, telefon bimbit, gari serta wang tunai berjumlah RM5,000.

"Semua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 22 Oktober ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 8:18 PM