LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kematian lelaki yang ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Taman Sri Petaling, di sini, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields terima maklumat awal kebakaran itu pada 1 pagi.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa 30 hingga 40 minit memadamkan kebakaran itu.

"Siasatan di tempat kejadian menemui mayat seorang lelaki rentung di dalam rumah itu di mana punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Kes diklasifikasikan sebagai laporan kebakaran dan mati mengejut di mana kes disiasat oleh Ketua Polis Balai Sri Petaling, Inspektor Nik Faidrul Nik Fauzi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan lelaki ditemui rentung di dalam bilik air tingkat atas selepas kediamannya jenis rumah teres dua tingkat di Taman Sri Petaling, di sini, terbakar awal pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan pada 1.11 pagi seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Berita berkaitan

Lelaki rentung rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 4:50 PM