GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kadar jangkitan Covid-19 di Kelantan paling tinggi di negara ini iaitu 66.8 peratus bagi setiap kes 10,000 populasi dalam tempoh dua minggu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kadar jangkitan itu tinggi berbanding Malaysia yang dicatatkan 33.8 peratus.

Katanya, ia menunjukkan jangkitan Covid-19 di Kelantan masih berisiko yang mungkin disebabkan varian Delta yang sudah ada dalam komuniti.

"Bagi membendung penularan wabak Covid-19, kami mohon kerjasama daripada semua rakyat sama ada yang tinggal di Kelantan atau perantau supaya sentiasa menjaga diri masing-masing.

"Kami harap dan merayu kepada mereka supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama ketika berada di tempat awam dan sesak.

"Perkara ini dapat mengelakkan penularan wabak Covid-19, sekali gus membantu menurunkan kes dan kadar jangkitan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini berkata, kadar penggunaan katil hospital bagi pesakit Covid-19 di Kelantan adalah 77.1 peratus.

Selain itu, beliau berkata, kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dicatatkan 66.7 peratus dan pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan ialah 57.7 peratus.

Katanya, penggunaan katil di 15 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula sebanyak 67.2 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 1:49 PM