Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Tiga premis hiburan di daerah ini diserbu polis, malam tadi, selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana beroperasi tanpa kebenaran ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.

Serbuan mengejut itu dilakukan pada 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Dalam operasi itu, empat remaja lelaki berusia 17 tahun turut dikompaun kerana belum cukup tempoh matang 14 hari selepas vaksinasi sewaktu pemeriksaan dilakukan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari turut menyertai operasi itu dengan menyerbu tiga premis terbabit iaitu dua premis pub dan sebuah pusat karaoke di bangunan sama di pusat bandar daerah ini.

Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga premis itu dipercayai tidak mempunyai lesen premis pusat hiburan dan beroperasi secara haram.

Mohd Roze berkata, berikutan itu, pihaknya mengeluarkan kompaun terhadap 43 individu termasuk pelanggan, pekerja dan pemilik premis berkenaan, berusia 17 hingga 50-an.

PEGAWAI polis dari IPK Kedah memeriksa sijil vaksin pada My Sejahtera remaja lelaki berusia 17 tahun yang belum mencapai tempoh matang 14 hari di sebuah pub yang diserbu di Sungai Petani. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PEGAWAI polis dari IPK Kedah memeriksa sijil vaksin pada My Sejahtera remaja lelaki berusia 17 tahun yang belum mencapai tempoh matang 14 hari di sebuah pub yang diserbu di Sungai Petani. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata, daripada 43 individu terbabit, lima daripadanya adalah wanita termasuk seorang wanita warga Vietnam dipercayai datang bersama pasangannya yang juga warga tempatan.

"Pelanggan lelaki di ketiga-tiga premis itu yang ditahan dan dikompaun adalah seramai 27 orang, manakala 11 individu iaitu pekerja dan pemilik premis juga turut dikompaun.

"Setiap pelanggan dikompaun RM2,000 seorang, manakala pemilik premis dikompaun RM25,000 kerana melanggar SOP," katanya ketika ditemui sejurus operasi dilakukan malam tadi.

Mohd Roze berkata, kesemua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tujuan kompaun selain menjalani ujian saringan awal air kencing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 8:31 AM