Koh Kar Chai.
Koh Kar Chai.
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kumpulan antivaksin perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana cubaan menakut-nakutkan masyarakat kononnya mengenai keburukan pelalian itu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, pengaruh buruk golongan antivaksin begitu membimbangkan kerana boleh mempengaruhi orang ramai mengenai pengambilan suntikan itu.

"Terdapat dua isu mengenai vaksin yang perlu dihadapi sekarang iaitu 'anti vaxxer' (antivaksin) dan satu lagi ialah keraguan mengenai kandungan vaksin.

"Sejak bertahun lagi, 'anti vaxxer' selalu menggunakan kajian tertentu untuk mengukuhkan dakwaan mereka mengenai pengambilan vaksin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, mereka menyebarkan khabar angin mengenai kesan sampingan vaksin termasuk menggunakan video yang tidak berkaitan untuk menakutkan orang ramai.

"Mereka ini mesti diambil tindakan undang-undang atas tindakan berbahaya itu.

"Malah, ini akan merisaukan lebih ramai orang mengenai pengambilan vaksin," katanya.

Dr Koh berkata, kerajaan harus meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai keperluan vaksinasi untuk melindungi diri dan orang lain di sekitar mereka.

"Vaksin ini sudah terbukti berkesan mengurangkan kes Covid-19 apabila semua SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan antivaksin menyerang Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Dr Koh berkata, semua pihak perlu berhenti membuat serangan peribadi kepada sesiapa.

"Tak perlu untuk membuat serangan peribadi kepada sesiapa yang buat promosi mengenai pemberian vaksin sebab statistik harian kes Covid-19 menunjukkan pada masa ini pengambilan vaksin itu memang berkesan.

"Kami yang berada dalam bidang ini nampak kesan kemudaratan kesihatan dan jiwa daripada penularan Covid-19 ini.

"Kepujian harus diberikan kepada Menteri Kesihatan kerana beliau adalah orang bertanggungjawab dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang berjalan dengan pantas," katanya.

Menurutnya, lebih 90 peratus populasi dewasa sudah divaksinasi dengan satu serta dua dos dan pihaknya berharap vaksinasi remaja dan dos penggalak akan diselesaikan dengan pantas.

Sebelum ini Khairy dalam kenyataannya memaklumkan kerajaan akan 'menyusahkan' kumpulan antivaksin yang terus enggan divaksin tanpa sebab yang dibenarkan.

"Ia mungkin agak kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk 'menyusahkan' hidup anda (golongan antivaksin)," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Khairy ditentang kumpulan itu dengan penubuhan grup Telegram yang menuduh Ahli Parlimen Rembau terbabit memakai tangkal untuk melindungi diri.

Melalui laman Instagram, Khairy dilaporkan menyangkal dakwaan berkenaan yang dipercayai dibuat golongan antivaksin.

Beliau mengaku menggunakan empat jenis 'jin' yang dikatakannya bertujuan untuk melindungi Malaysia.

"Salah. Saya guna empat jenis jin vaksin untuk lindungi Malaysia. Jin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac dan CanSino," tulis Khairy di hantaran Instastory.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 7:48 PM