DR ISMUNI (tengah) menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 daripada vaksinator kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin Klinik Kesihatan Membedai hari ini. FOTO BERNAMA
DR ISMUNI (tengah) menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 daripada vaksinator kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin Klinik Kesihatan Membedai hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Jabatan Kesihatan Labuan mula melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 menerusi tiga fasa dengan hampir 20,000 orang bakal menerima dos ketiga mereka.

Ketua Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata, fasa pertama membabitkan 1,290 petugas kesihatan; manakala fasa kedua, 250 anggota barisan hadapan bukan kesihatan termasuk petugas media; dan fasa ketiga iaitu kira-kira 16,000 individu dalam kumpulan berisiko tinggi.

"Kami mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemberian dos penggalak dan petugas barisan hadapan kami akan divaksinasi bermula hari ini hingga hujung minggu ini," katanya sebelum melancarkan pemberian dos penggalak di Klinik Kesihatan Membedai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua tiga fasa itu dijangka selesai pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Hanya individu yang selesai tempoh enam bulan selepas dos kedua seperti yang disarankan, layak mendapat suntikan dos penggalak itu.

"Kami menubuhkan pusat vaksinasi di Hospital Labuan, kem Pangkalan Udara Labuan dan Klinik Kesihatan Membedai," katanya.

Dr Ismuni berkata, suntikan dos penggalak boleh diperoleh di semua klinik swasta menerusi janji temu.

Beliau berkata, individu yang layak boleh menghubungi klinik berkenaan bagi mendapatkan janji temu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 6:29 PM