GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Polis sedang mengesan seorang warga Myanmar dikenali sebagai Mohammad Hashim Dilbashar berusia lingkungan 30 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mati dengan sembilan kesan tikaman pada 10 Oktober lalu.

Mohammad Hashim beralamat terakhir di Jalan Budaya Kampung Rantau Panjang, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pada 10 Oktober lalu, seorang lelaki Myanmar ketika dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Beliau berkata, mangsa dibawa seorang rakan dari Rantau Panjang, Sungai Kapar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Dalam kejadian jam 10.11 pagi itu, pegawai perubatan yang memeriksa mangsa mendapati lelaki berusia 30-an itu sudah meninggal dunia. Terdapat sembilan kesan tikaman di kepala, badan serta kaki mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat tikaman di belakang badan.

"Siasatan mendapati dua suspek warga Myanmar terbabit dan punca kejadian dipercayai akibat dendam lama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu sebuah pasukan khas ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk mengesan suspek.

Katanya, bertindak atas maklumat, seorang suspek berjaya ditahan di Jalan Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan yang mana suspek dipercayai cuba melarikan diri ke Thailand melalui sempadan Sungai Golok.

"Lelaki berkenaan direman enam hari bermula Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek iaitu Mohammad Hashim," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Klang Utara di talian 03-32913344 atau pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Jaya Sangar di talian 013-4013403.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 4:01 PM