Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mengkaji undang-undang yang digunakan di peringkat negeri termasuk kes mahkamah yang berlaku di beberapa negeri membabitkan pelaksanaan perundangan berkaitan lompat parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata selain itu, kerajaan turut meneliti model perundangan beberapa negara seperti India, Singapura, New Zealand dan United Kingdom membabitkan peruntukan undang-udang lompat parti.

"Dapatan daripada kajian ini akan dibincangkan melalui sesi libat urus bipartisan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator N Balasubramaniam yang ingin tahu sejauh mana kesediaan kerajaan untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti.

Wan Junaidi berkata, kerajaan komited untuk memastikan undang-undang berkaitan antilompat parti yang akan digubal dapat melindungi hak rakyat di negara ini yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya.

"Kerajaan akan memastikan sesi libat urus yang menyeluruh diadakan bersama pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta rakyat agar rang undang-undang baharu yang diperkenalkan mendapat sokongan semua pihak," katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk A Kesavadas mengenai bentuk libat urus yang sedang dilakukan oleh kerajaan dengan pakar-pakar perundangan negara luar bagi memuktamadkan inti pati undang-undang antilompat parti, Wan Junaidi berkata, setakat ini tiada keperluan untuk mengadakan libat urus dengan pakar perundangan luar negara.

"Saya cukup yakin pihak kementerian saya dan juga Peguam Negara mempunyai cukup kepakaran selain daripada peguam-peguam kita di seluruh negara, maka keperluan libat urus dengan pakar undang-undang luar negara tidak perlu dibuat.

"Bagaimanapun, kita menggunakan model undang-undang di negara-negara yang saya sebutkan tadi dan kita boleh melihat kelemahan dan kekuatannya serta menilai dari sudut perlembagaan kita sendiri dan kehendak rakyat kita mengenai jenis undang-undang yang perlu kita perkenalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 2:49 PM