DR Noor Hisham. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 kembali mencatatkan penurunan dengan 6,145 kes dilaporkan hari ini berbanding 7,509 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia ialah 2,390,687 kes.

"Daripada kes yang dilaporkan 142 kes (2.3 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 6,003 kes (97.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sebanyak 12 kes import turut dilaporkan membabitkan lapan warganegara dan empat bukan warganegara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 9,231 kes sembuh dilaporkan menjadikan kes sembuh keseluruhan setakat ini ialah 2,270,520 kes kumulatif atau 95 peratus.

"Sebanyak 682 kes dilaporkan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 640 daripadanya adalah kes Covid-19 dan 42 kes masih dalam siasatan.

"Daripada jumlah itu juga, sebanyak 350 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 281 kes adalah kes Covid-19 manakala 69 kes adalah kes disyaki dan masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, KKM juga merekodkan sembilan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster ialah 5,672 kluster.

"KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan.

"Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 7:56 PM