Zaid Salim

Kuala Berang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengingatkan orang ramai dan pengunjung supaya meningkatkan tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) aspek keselamatan ketika mengunjungi kawasan tumpuan terutama ketika melakukan aktiviti air.

Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, orang ramai diminta lebih berwaspada dan mengambil berat langkah keselamatan terutama ketika melakukan aktiviti air sama ada di pantai, tasik atau air terjun.

Beliau berkata, insiden berlaku di dalam air tidak sama dan sangat berbeza keadaannya berbanding di darat.

"Sebagai contoh pengunjung di Tasik Kenyir, tak putus-putus orang datang, tetapi saya nampak agak longgar daripada segi SOP dan jaket keselamatan tidak dipakai dengan betul.

"Sebab itu saya nasihatkan orang ramai supaya ambil berat dan tingkatkan langkah keselamatan terutama keluarga yang membawa anak kecil," katanya selepas menyaksikan latihan persediaan monsun timur laut JBPM kali ke-4, di perairan Pulau Bomba di Tasik Kenyir, semalam.

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Terengganu melakukan latihan bot dan menyelamat di air di Pulau Bomba, Tasik Kenyir. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Terengganu melakukan latihan bot dan menyelamat di air di Pulau Bomba, Tasik Kenyir. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata, banyak pusat pelancongan dan rekreasi di Terengganu mula dibanjiri pelancong selepas pembukaan semula sempadan negeri bermula 11 Oktober lalu.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan rondaan di lokasi tumpuan pengunjung selain kempen kesedaran bagi mengingat dan mendidik orang ramai supaya lebih peka terhadap isu keselamatan.

"Pada masa sama, kami selesai melakukan persiapan bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda antara empat hingga enam gelombang.

"Seperti tahun lalu, kita jangka hadapi situasi sama. Tetapi kita gandakan daripada segi tahap keselamatan dan SOP ketat kerana Covid-19.

"Berbekalkan kekuatan 728 anggota dan pelbagai aset, kita percaya mampu menangani apa jua keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 3:07 PM