GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Seorang juruteknik kilang di Mentakab, Temerloh, sanggup membayar RM13,310 untuk pelbagai bayaran proses demi mendapatkan wang pinjaman peribadi berjumlah RM20,000.

Bagaimanapun, lelaki berusia 24 tahun itu akhirnya berputih mata apabila dia sebenarnya menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman tidak wujud di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berhasrat untuk membuat pinjaman wang selepas melihat iklan di Facebook.

"Mangsa menghubungi pihak berkenaan melalui WhatsApp dan menyerahkan maklumat berkaitan termasuk kad pengenalan, penyata bank dan slip gaji.

"Suspek meminta mangsa membuat beberapa bayaran ke akaun berbeza bagi proses pinjaman wang berkenaan antaranya bayaran stamp, cukai, membuka akaun VIP dan sebagainya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara tempoh 14 hingga 15 Oktober lalu, mangsa membuat empat transaksi pemindahan wang melalui Internet ke tiga akaun berbeza berjumlah RM13,310.

Katanya, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa diminta untuk menunggu wang pinjaman itu dimasukkan ke dalam akaunnya.

"Namun tidak lama selepas itu, mangsa diberitahu terdapat masalah untuk proses wang pinjaman berkenaan dan mangsa diminta membuat pembayaran lagi.

"Mangsa mula mengesyaki ditipu pihak terbabit dan membuat laporan di Balai Polis Mentakab, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 2:16 PM