GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pertemuan dengan semua kepimpinan parti komponen untuk membincangkan agihan kerusi sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam masa terdekat ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, namun ia bergantung kepada pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita (BN) belum ada formula khusus untuk membincangkan dari segi kedudukan pembahagian kerusi ini kerana setiap pilihan raya tentunya mempunyai dinamiknya tersendiri iaitu kedudukan tersendiri dalam setiap kawasan.

"BN akan mengadakan pertemuan dengan semua pimpinan parti dalam komponennya untuk membincangkan dari segi pembahagian kerusi nanti sekiranya pilihan raya diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan pemantauan dan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di Jeti Lumut, di sini, hari ini.

Menurutnya, jika PRN Melaka diadakan, pastinya BN akan bertanding di semua kerusi yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, namun ia tertakluk kepada perbincangan yang akan diputuskan nanti.

"Calon akan ditentukan oleh pihak kepimpinan di negeri dan Pusat yang akan diumumkan nanti, itupun bergantung kepada pengumuman pihak SPR terlebih dahulu.

"Jadi saya tidak boleh melangkaui SPR sebelum sebarang kenyataan selanjutnya yang akan dikeluarkan dari pihak BN," katanya.

Zambry berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menjadi kewajaran kepada BN di Melaka dan di peringkat Pusat untuk membuat persiapan berkaitan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan diumumkan oleh pihak SPR esok.

"Saya sudah mengadakan pertemuan awal dengan kepimpinan di Melaka dan daripada pemantauan kita, mereka sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sama ada pilihan raya ataupun sebaliknya," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada BN akan bekerjasama dengan BERSATU, Zambry berkata, BN masih dengan kedudukan untuk tidak bekerjasama dengan parti itu seperti diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO PAU) lalu.

Sebelum ini media melaporkan, pada 4 Oktober lalu, DUN Melaka terbubar selepas Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang sokongan, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Empat ADUn mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 1:12 PM