Adie Zulkifli

Langkawi: Sesi pembukaan semula sekolah rendah di Pulau Langkawi berjalan lancar dengan kehadiran murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga bagi mengikuti sesi kelas secara bersemuka hari ini.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Ahmad di Ayer Hangat, murid teruja apabila mereka disambut oleh Spiderman ketika tiba di pintu masuk untuk memeriksa suhu badan sebelum masuk ke bilik darjah masing-masing.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Penghulu Ahmad, Rohaida Kasa memuji komitmen yang ditunjukkan oleh pihak pentadbiran sekolah dalam memastikan proses pembukaan semula sekolah berjalan dengan lancar.

"Pihak sekolah mematuhi semua SOP (Prosedur Operasi Standard), malah kesemua guru dan kakitangan sokongan sekolah ini telah lengkap menerima dua dos vaksinasi Covid-19.

"Ini akan memberi keyakinan kepada ibu bapa dan waris untuk menghantar anak-anak mereka bagi sesi pembelajaran bersemuka," katanya ketika meninjau perjalanan hari pertama pembukaan semula sekolah berkenaan pagi tadi.

Rohaida berkata, kehadiran murid juga sangat memuaskan dengan hampir 90 peratus murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga hadir.

"Selari dengan SOP, hanya separuh murid daripada kapasiti penuh setiap kelas hadir pada hari ini, menurut sistem penggiliran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

"Dengan sesi pembukaan yang lancar seperti hari ini, kita percaya ia akan memberi keyakinan kepada para ibu bapa untuk menghantar anak-anak Darjah Empat hingga Darjah Enam ke sekolah semula dalam masa terdekat," katanya.

TINJAUAN hari pertama sesi persekolahan di SK Penghulu Ahmad, Langkawi setelah sekian lama ditutup akibat pandemik Covid-19. FOTO Luqman Hakim Zubir
TINJAUAN hari pertama sesi persekolahan di SK Penghulu Ahmad, Langkawi setelah sekian lama ditutup akibat pandemik Covid-19. FOTO Luqman Hakim Zubir

Menurut Rohaida, SK Penghulu Ahmad mempunyai lebih 800 murid termasuk pra-sekolah dan murid berkeperluan khas.

Hari ini adalah hari pertama pembukaan semula 21 buah sekolah rendah di Langkawi, selepas semua sekolah di seluruh negara ditutup susulan penularan Covid-19.

Selain murid sekolah rendah, pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat di sembilan sekolah menengah di Pulau Langkawi turut kembali mengikuti sesi pengajaran secara bersemuka hari ini.

Difahamkan, lebih 6,000 pelajar di 29 sekolah rendah dan sekolah menengah di Pulau Langkawi hadir pada hari ini.

Bulan lalu Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin mengumumkan kesemua 29 buah sekolah awam di Pulau Langkawi bersedia untuk pembukaan semula sekolah bermula bulan ini.

Pembukaan semula sekolah itu adalah selari dengan status Langkawi yang berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain Pulau Langkawi, sekolah-sekolah awam di Labuan juga akan memulakan semula sesi persekolahan secara bersemuka bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 12:04 PM