GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang peniaga barangan terpakai kerugian RM15,000 selepas terpedaya dengan sindiket yang mendakwa mereka boleh membantunya mendapatkan lesen perniagaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, sindiket itu menggunakan nama Pertubuhan Kebajikan Nurqaseh PDRM Malaysia (Perqaseh) untuk meminta wang.

"Mangsa mendakwa dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai di jabatan kerajaan dengan tujuan meminta sumbangan ke tabung Perqaseh pada awal April lalu.

"Mangsa dijanjikan lesen bagi menjalankan perniagaan barangan lusuh apabila membuat sumbangan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, mangsa membuat tiga transaksi berjumlah RM15,000 dalam bentuk tunai kepada empat individu yang mengaku sebagai wakil Perqaseh sejak April hingga September lalu.

"Mangsa hanya menyedari ditipu kerana masih tidak menerima lesen perniagaan seperti dijanjikan.

"Siasatan awal dilakukan dengan pihak Perqaseh mengesahkan tidak menerima sebarang sumbangan dalam bentuk tunai.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah melantik mana-mana individu, syarikat atau persatuan untuk menerima, memproses atau meluluskan permohonan bagi mendapatkan lesen barangan lusuh.

"Orang ramai dinasihatkan supaya membuat permohonan lesen mengikut saluran yang ditetapkan dan tidak melalui individu atau pertubuhan tertentu.

"Orang ramai juga diminta segera melaporkan kepada polis sekiranya ada menerima tawaran ataupun mempunyai sebarang maklumat berkaitan perkara ini.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 10:49 AM