DATUK Seri Abd Jalil Hassan
DATUK Seri Abd Jalil Hassan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap dua individu yang didakwa menyebarkan berita palsu berhubung pengambilan vaksin Covid-19 hingga menimbulkan kegusaran awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagi kes pertama siasatan dilakukan terhadap seorang wanita yang mengaitkan kematian dua murid sekolah di Ipoh, Perak akibat suntikan vaksin.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan dengan niat menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

"Kes juga turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes kedua pula membabitkan siasatan terhadap ciapan pemilik akaun Twitter khalid@khalids mengenai kematian 41 guru disebabkan suntikan vaksin.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 50(C) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapi apikan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya.

Katanya, kertas siasatan masih dalam tindakan pihak polis kerana menunggu laporan 'profiling' dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multinedia Malaysia (SKMM).

"Orang ramai dinasihatkan supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggubakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihanya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 9:07 PM