ZAIN Shaari (tiga kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Seberang Pintasan. FOTO Rosli Ilham
ZAIN Shaari (tiga kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Seberang Pintasan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Seramai 2,000 sukarelawan Yayasan Ikhlas bersedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan ikhlas, Zain Shaari berkata, sukarelawan terbabit turut dibantu anggota IMedic dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Kita bersiap sedia lebih awal dan sukarelawan kami ini akan segera bertindak sebaik berlaku banjir di Pantai Timur.

"Selain sukarelawan, kita juga akan menghulurkan bantuan termasuk barangan keperluan kepada mangsa banjir, "katanya ketika menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 80 penduduk Kampung Seberang Pintasan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Kamaruddin Kassim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung JPKK, Seberang Pintasan, Fauzi Ibrahim.

Menurutnya, sukarelawan itu akan turut diberi penekanan dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan jangkitan atau penularan Covid-19.

Sementara itu Zain berkata, Yayasan Ikhlas memperuntukkan sumbangan sebanyak RM5.8 juta menyediakan keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan.

"Sejak Mac tahun lalu hingga kini kita sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta membabitkan 140,000 set PPE kepada Jabatan Kesihatan negeri di Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kita jangkakan baki RM2 juta lagi set PPE akan disediakan menjelang akhir tahun ini tanda sokongan kami kepada petugas barisan hadapan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 8:29 PM