Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Masyarakat perlu menyokong dan membantu orang kurang upaya (OKU) penglihatan terutama dari segi penyediaan peluang pekerjaan berdasarkan kebolehan yang mereka miliki.

Itu harapan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas supaya pelbagai pihak tidak kira individu, persatuan mahupun ahli perniagaan membantu OKU penglihatan supaya mampu berdikari dalam kehidupan sekali gus memberi manfaat kembali kepada golongan senasib.

"Sempena Sambutan Hari Tongkat Putih Peringkat Kebangsaan yang disambut pada 15 Oktober setiap tahun ini, saya berharap masyarakat dapat memberi sokongan kepada OKU penglihatan dari segi kebolehan mereka untuk bekerja.

"Saya juga berharap kesedaran orang ramai membantu orang buta di tempat awam seperti memimpin mereka berjalan dapat ditingkatkan bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan seperti orang lain," katanya ketika Program Sambutan Hari Tongkat Putih Peringkat Kebangsaan 2021 di Kompleks MAB, Brickfields di sini, hari ini.

Rajan bersama George (dua dari kanan) menyerahkan tongkat putih kepada sebahagian orang cacat penglihatan yang hadir pada program Hari Tongkat Putih Sedunia 2021 di Kompleks MAB, Brickfields. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Rajan bersama George (dua dari kanan) menyerahkan tongkat putih kepada sebahagian orang cacat penglihatan yang hadir pada program Hari Tongkat Putih Sedunia 2021 di Kompleks MAB, Brickfields. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Pada program sama, Persatuan All Malaysia Malayalee Association (AMMA) turut menyumbang 120 tongkat kepada OKU Penglihatan yang terdiri daripada pelajar Institusi St John's, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak, Pusat Latihan dan Pemulihan Lembah Kinta, Ipoh, Perak, Pusat Latihan Taman Harapan, Temerloh, Pahang dan warga Kuala Lumpur.

Sementara itu, Guru Penyelaras Pendidikan Khas Institusi St John's, Khairul Bariah Abdullah berkata, pihaknya berterima kasih diberi peluang setiap tahun mengikuti majlis tahunan kendalian MAB ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada MAB kerana sudi menjemput dan memberikan pengalaman kepada pelajar kami setiap tahun.

"Kami hadir pada hari ini juga bagi meraikan Sambutan Hari Tongkat Putih dan juga sama-sama meraikan kejayaan yang dikecapi OKU penglihatan daripada pelbagai bidang," katanya.

Dalam pada itu, penerima sumbangan, Nur Amira Muhammad Ramli, 35, berkata, program yang pertama kali disertainya ini dapat menyuntik semangatnya untuk menjalani kehidupan sebagai OKU penglihatan.

"Saya disahkan hilang keupayaan penglihatan pada usia 33 tahun dan pada awalnya memang tidak terima hakikat.

"Namun, lama-kelamaan dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak saya dapat menerimanya dan berterima kasih kerana bantuan tongkat putih inilah saya dapat menjalani kehidupan harian," katanya yang menetap di Selayang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 8:28 PM